Sunday, November 8, 2009

Selamat Datang

IlmuanMuda.com

IlmuanMuda.com adalah laman rasmi bagi Pentas Ilmuan Muda Malaysia (Ilmuan Muda).

Laman ini bertujuan untuk:

i) Mempromosi program-program Ilmuan Muda.
ii) Memuatkan pandangan pembentang dalam program-program Ilmuan Muda melalui salinan kertas kerja, video dan juga wawancara.
iii) Memuatkan laporan ringkas program-program Ilmuan Muda.
iv) Memuatkan artikel dan pandangan penggerak Ilmuan Muda.

Sejarah Ilmuan Muda

Sejarah penubuhannya bermula sejak 2007 melalui kumpulan Diskusi Enak Wilayah Ilmu (DEWI) yang mengumpulkan anak-anak muda yang belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Lim Kok Wing dan Universiti Multimedia.

Kata Wilayah Ilmu merujuk kepada ciri setempat di mana banyaknya institusi pengajian di sekitar Cyberjaya, Putrajaya, Serdang, Bangi dan Kajang. Kemunculan DEWI hanyalah sebahagian daripada 'pemberontakan' dalam proses mencerap ilmu pengetahuan di mana latar belakang masing-masing yang pelbagai misalnya Perhutanan, Kejuruteraan, Fizik Kuantum telah mendorong kami untuk bertemu dan cuba menyusun apa yang boleh bagi meneruskan minat kami kepada pelbagai perkara di luar bidang pengkhususan yang ada.

Ilmuan Muda terus mengekalkan konsep asal DEWI iaitu non-partisan dalam erti kata perkumpulan. Bagi kami, sikap politik adalah pilihan individu dan mereka bebas untuk cuba saling mempengaruhi. Kami menghargai kepelbagaian dan kompleksiti pengalaman masing-masing - sama ada mahu atau tidak terlibat dengan mana-mana organisasi. Mungkin yang lebih cocok daripada terus bersikap apologetik melalui terma non-partisan itu ialah rentas-partisan.

Slogan

Slogan yang dipakai oleh Ilmuan Muda ialah "kemahuan untuk hidup bersama" (dari kata latin la desire de vivre ensemble)

Misi

Misi Ilmuan Muda ialah untuk merancakkan budaya berfikir, berbincang dan bersaudara merentasi apa juga sempadan berasaskan Peraturan Emas *

* Peraturan Emas :

Menyantuni orang lain sebagaimana anda mahu atau sedia untuk diri anda disantuni sepertinya.

Visi

Visi Ilmuan Muda ialah menjadi pendorong kepada kegiatan berfikir, berbincang dan merumus penyelesaian pelbagai isu khususnya yang menyangkut kepentingan anak muda dalam kehidupan bermasyarakat.

Nilai-Nilai

Ilmuan Muda ingin mempromosikan nilai-nilai persaudaraan sejagat melalui:

i) Penerokaan nilai-nilai kehidupan bersama misalnya keadilan, kesaksamaan dan sebagainya.
ii) Jaminan hak untuk percaya dan hak untuk bersuara seadil yang mungkin.
iii) Peluang yang sama untuk mengemukakan pandangan dan sikap terhadap isu.
iv) Bersetuju untuk tidak bersetuju selagi mana ia tidak melibatkan kekerasan.

Program

Buat masa ini, format program akan bertumpu kepada siri Diskusi Enak Wilayah Ilmu (DEWI) di mana ia dibuat dalam 4 bentuk:

1) Wacana Umum
2) Diskusi Buku
3) Dialog Ilmuan
4) Gagasan Tokoh

Perhubungan

Buat masa ini, Ilmuan Muda tidak punya lokasi khusus untuk beroperasi. Program-program kami bersifat santai dan umumnya dibuat di kedai makan. Pejabat kami barangkali hanya di ruang maya sahaja.

Sebarang persoalan boleh terus berhubung dengan admin(at)ilmuanmuda.com.

No comments: