Sunday, November 8, 2009

Wacana Umum 1: Ustaz Khairy Jalalluddin

Semua pandangan dalam kertas kerja ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya pandangan Ilmuan Muda. Harap maklum.

Isu Semasa Agama & Politik dari Perspektif Siasah Syari’yyah

Khairi bin Jalalluddin

الحمد لله رب العالمين وله النعمة وله الفضل وله الثناء الحسن وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم أما بعد،

1. Pendahuluan

Siasah Syar’iyyah atau politik yang berasaskan syariah. Ianya bertujuan untuk memastikan tindakan umat Islam (kepimpinannya) mengikuti dan menepati kehendak Syariah Islam dan ruhnya. Ianya boleh dijadikan panduan untuk kita menghadapi isu-isu pengurusan negara yang kontemporari dan tidak terdapat dalam kitab fiqh klasik. Hal ini kerana, Siasah Syar’iyyah termasuk dalam perbahasan hukum juz’iyah2 iaitu hukum yang bersifat fleksibel dan berubah-rubah mengikut perubahan tempat dan zaman. Sebagai contohnya tindakan bijak Khalifah Umar al-Khattab yang menangguhkan perlaksanan hukum hudud akibat musim kemarau, memberhentikan perberian wang zakat kepada golongan “muallafatu qulubihim” dan menetapkan talak tiga sebagai satu3. Jika kita teliti, zaman Khalifah Umar ini sudah ada pelbagai permasalahan yang memerlukan kepada pendekatan Siasah Syar’iyyah, apatah lagi di zaman ini, yang mana permasalahan umatnya terlalu rumit dan kompleks lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi barat4 yang belum pernah ditempuhi oleh ulama silam.

2. Hujah Siasah Syar’iyyah5

2.1 Ibn Nujaym menakrifkan Siasah Syar’iyyah:

فعل الشئ من الحاكم لمصلحة يراها وإن لم يرد بهذا دليل جزئي

“Sesuatu tindakan (polisi) yang dilaksanakan oleh pemerintah berdasarkan kepentingan umum menurut pandangannya, sekalipun ia tidak terdapat dalil khusus mengenainya”.

2.2 Hujah Siasah Syar’iyyah : Sabda Rasulullah SAW:

"السمع والطاعة حق على المرء المسلم فيما أحب أو كره ، ما لم يؤمر بمعصية ،

فإذا أُمر بمعصية فلا سمع عليه ولا طاعة". رواه البخاري ومسلم وأبو داود

“ Wajib ke atas setiap muslim dengar dan taat kepada pemerintah sama ada pemerintah itu disukai atau dibenci, selagi mana dia tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat. Apabila diarahkan berbuat maksiat, maka janganlah ia dengar dan taat”. Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud.

2.3 Dr. Mahmud al-Khalidi dalam sebuah Tesis PHD mengatakan;

وانقعد اجماع الصحابة أيضا على أن العمل بما يتبناه الخليفة من الأحكام واجب، ولا يحل لمسلم أن يعمل بغير ما يتبناه من أحكام أوقوانين أو أنظمة إدارية، كأن يتبناه رئيس الدولة سن قانون لنظام المرور فالأمة ملزمة شرعا باتباع ما أمر به رئيس الدولة.

“Para sahabat juga telah sepakat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan-peraturan yang didukung oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang Muslim mengikut hukum, undang-undang sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah. Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang yang berkaitan dengan jalan raya, seluruh umat wajib di sisi syarak mematuhi apa yang diperintahkan oleh ketua negara”.6

3. Isu Semasa Agama & Politik

Isu semasa yang disenaraikan ini merupakan isu peringat nasional di Malaysia yang dibicarakan oleh pelbagai pihak mengikut perspektif masing-masing. Sebahagiannya adalah isu lama yang “dikitarsemula” dan sebahaginnya isu baru. Ini berikutan kenyataan-kenyataan politik sentiasa berubah dari masa ke semasa mengikut kepentingan sesuatu parti atau pemimpin tertentu. Antara isu-isu tersebut ialah;

[ISU PERTAMA]

    1. Internal Security Act (ISA)

Keterangan: Ia merupakan akta yang membolehkan seseorang penjenayah ditahan setelah didapati ianya mengancam keselamatan negara. Diwujudkan pada tahun 1960.

Hujah Pengkritik: Tahanan tanpa bicara zalim dan menyalahi Islam.

Hujah Penyokong: Tahanan berbentuk pencegahan adalah diperlukan untuk menjaga kemaslahatan orang ramai.

Pendirian penulis: ISA tidak perlu dihapus. Rasionalnya negara-negara seperti Amerika, Arab Saudi dan Singapura ada akta sebegini. Ia hanya perlu dipinda iaitu hanya ditumpukan kepada golongan pengganas bukan ahli politik.

Perincian:

Penentangan terhadap keharusan ISA adalah kerana kekeliruan akibat tidak dapat memahami fungsi dua kuasa iaitu kuasa esekutif (al-Sultah al-Tanfiziah) yang berasaskan maslahah umum dan kuasa perundangan (al-Sultah al-Qadaiyyah) yang mengenakan hukuman setelah disabit kesalahan mengikut prosedur mahkamah.

al-Qarafi dalam kitab al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa an al-Ahkam wa Tasarrufat al-Qadhi wa al-Imam, menghuraikan peranan kuasa esekutif (Ketua Negara) dengan menyatakan bahawa pemerintah merupakan wakil rakyat yang menguruskan seluruh urusan rakyat samada menjaga kepentingan umum dan membenteras segala perkara menggugatnya.

Bagi melaksanakan tugas menjaga agama dan mengurus negara sudah tentu ketua negara mempunyai bidang kuasa luas tanpa perlu diikat dengan prosedur-prosedur yang ketat sebagaimana dalam bidang kehakiman.

al-Qarafi menyatakannya lagi dalam kitab al-Ihkam

Maksudnya: “Ketua negara mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan fatwa. Ia juga boleh melakukan perkara-perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpun tentera, mengisytiharkan perang, memungut hasil dan membelanjakannya ditempat yang betul, melantik pegawai-pegawai, membunuh penderhaka, iaitu tugas yang tidak boleh dilakukan oleh hakim dan mufti”

Di antara tanggungjawab ketua negara ialah “Hisbah”. Ibu al-Qayyim dalam kitabnya al-Turuk al-Hukmiyyah menyatakan;

Maksudnya: “ Dan maksud hukum-hukum yang dijalankan dibawah kuasa hisbah adalah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaeadh di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian diikuti (dakwa di mahkamah) , maka kepentingan umat akan musnah dan system pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berdasarkan petanda-petanda yang jelas serta qarinah-qarinah yang boleh dijadikan keterangan (Circumastantial evidence).

Justeru, pemerintah boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan ummah. Sebagai contohnya telah diketahui bahawa seseorang itu adalah perancang pengeboman atau rusuhan tetapi tidak ada bukti kerana kemusnahan belum berlaku. Oleh itu, pemerintah boleh menahan perancang tersebut untuk mencegahnya sebelum berlaku.

Dalam hal ini juga, Dr. Saud bin Said al-Duraib dalam kitabnya at-Tanzim al-Qada’ fi Mamlakah as-Sa’udiyyah menyatakan;

Maksudnya: “Seseorang ketua negara dengan kuasa esekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mengasingkan (memenjarakan) orang yang menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar terhadap Sobiq bin Asal al-Tamimi kerana usahanya mengelirukan orang terhadap al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh mudharatkan masyarakat.

Penahan tanpa bicara harus dilakukan dalam kes harta benda sebagaimana yang dihuraikan oleh al-Syatibi dalam kitabnya al-Iktisom

Maksudnya: “ Sesungguhnya para ulamak berbeza pendapat mengenai keharusan memukul tertuduh dengan tuduhan jenayah. Imam Malik berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun tindakan itu merupakan sejenis penyiksaan. Malah sebahagian ulamak Maliki berpendapat bahawa pukul juga harus. Hukum ini pada pandangan ulamak Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang mengambil upah mengantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan (jika rosak atau hilang), kerana tanpa pukul dan penjara ketika ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin dapat dikembalikan harta daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan. Maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan siksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendapatkan kembali harta tersebut yang disembunyikan dan membuat pengakuan”.

al-Syatibi juga menolak dakwaan bahawa undang-undang tersebut boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya:

فإن قيل: هذا فتح باب لتعذيب البريء قيل ففي الإعراض عنه إبطال استرجاع الأموال بل الإضراب عن التعذيب أشدّ ضررا، إذ لايعذب أحد لمجرد الدعوى، بل مع اقتران قرينة تحيك في النفس وتؤثر في القلب نوعا من الظن، فالتعذيب في الغالب لايصادف البريء وإن أمكن مصادفته فتغتفر كما اغتفرت في تضمين الصناع.


Maksudnya: “ Jika dikatakan ini membuka ruang kepada penyiksaan orang yang tidak bersalah. Jawapannya ialah tanpa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemiliknya. Malah tidak melaksanakan siksaan seperti itu lebih besar mudaratnya. Sebenarnya seseorang itu tidak disiksa dengan wujud dakwaan semata-mata sebaliknya perlu disertai dengan petanda-petanda (qarinah) yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sangkaan yang kuat di dalam hati. Jadi siksaan pada lazimnya tidak mengenai orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelanggan”7

Kesimpulannya

Penahanan tanpa bicara bagi kes yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam adalah lebih utama berbanding dalam kes harta benda sebagaimana yang diperbincangkan oleh al-Syatibi tadi. Malah keharusan menggunakan ISA boleh menjadi wajib apabila pemerintah mendapati keamanan dan keselamatan negara akan terjejas berasaskan kaedah usul fekah yang mengatakan sesuatu perkara yang tidak menyempurnakan perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu turut wajib.

--

Nota:

Kertas kerja penuh Ustaz Khairy meliputi pelbagai isu dan akan dimuatkan selepas mendaftar akaun khusus untuknya. Buat masa ini, kita boleh memulakan perbincangan maya tentangnya di sini.

No comments: